Monday, January 16, 2012

Emas sebagai "emergency cash"

Kadang kadang kita menghadapi satu situasi, di mana kita perlukan wang dalam jumlah yang agak banyak, atas sebab sebab yang tidak diduga, sebagai contoh, untuk baiki kerosakan kenderaan, membiayai kos perubatan atau untuk menampung kos mengembangkan perniagaan anda. Jadi bagaimana simpanan emas anda boleh membantu anda menghadapi situasi sebegini?


Salah satu caranya ialah "mencairkan" emas anda kepada wang atau "cash money".

Dan salah satu caranya mencairkan emas tanpa menjualnya anda ialah dengan menggunakan Ar-Rahnu.

APA ITU AR-RAHNU?


Pinjaman ar-rahnu ialah skim pajak gadai islam yang berasaskan syariah dimana bank memberi pinjaman bersandarkan prinsip Syariah Al-Qardul Hassan dan pelanggan akan mengemukakan barang kemas@ emas sebagai cagaran.Barang kemas itu akan disimpan mengikut prinsip Al-Wadiah yad Dhamanah dengan mengenakan upah simpan.


Dengan kemudahan Ar-Rahnu yang disediakan, anda boleh mencagarkan emas anda untuk mendapatkan "cash money" dengan segera bila anda memerlukannya.Anda akan mendapat pinjaman sehingga 70% dari nilai emas yang anda cagarkan. Kebiasaannya anda boleh menebus kembali emas anda tadi dalam masa 6 bulan atau lebih awal dari itu, dengan membayar jumlah pinjaman tadi dan berserta upah simpan yang telah ditetapkan.





PROSES PINJAMAN BERCAGARKAN EMAS (AR-RAHNU).

Sebagai contoh anda mempunyai 10gm emas berketulenan 24k(999)

Sila pastikan anda membawa kad pengenalan. Resit pembelian kadang kadang diminta, jadi kalau ada bawalah sekali kalau kalau pegawai nak tengok.

1)Pegawai ar-rahnu akan menimbang emas tadi dan memeriksa ketulinannya.

2)Setelah itu pengiraan nilai emas pun akan dibuat.Sebagai contoh, pada hari itu, kadar bagi segram emas 24 k adalah rm 200(rm 200/gram). Jadi nilai ringgit emas anda ialah

10gm x rm 200 = rm2000.Nilai ini juga dikenali sebagai NILAI MARHUN.

3)Sekarang pengiraan untuk jumlah pinjaman maksimum yang boleh anda perolehi, kebiasaanya 70% daripada nilai marhun tadi.

70% x rm 2000 = RM 1400. Ini adalah JUMLAH PINJAMAN maksimum anda.


4) Seterusnya kos upah simpan bulanan. Kita andaikan upah simpan adalah

RM 0.70 bagi setiap RM 100 nilai marhun.

jadi pengiraan untuk kos upah sebulan adalah :

        (Nilai Marhun / RM100) x rm 0.70 = (RM 2000 / RM 100) x RM 0.70
                                                                = RM 14.00 (KOS UPAH SIMPAN BAGI SEBULAN)

5) Kita andaikan anda akan menebusnya selepas 6 bulan . Jadi jumlah bayaran balik :

(Kos upah sebulan x jumlah bulan) + Jumlah pinjaman= (RM 14 x 6 bulan) + RM 1400
                                                                                      =  RM 84 + RM 1400
                                                                                      = RM 1484 (JUMLAH BAYARAN BALIK)
Tapi seperti saya jelaskan awal tadi, anda boleh menebus awal emas anda, dan kos upah hanya akan dikira hingga setakat tempoh dari bulan anda mencagar hingga ke bulan anda menebusnya kembali.katakan anda menebus dalam masa 3 bulan, jadi upah simpan anda hanyalah RM 14 x 3 bulan RM 42 sahaja.

 6) Setelah selesai pegawai bank akan menyerahkan anda surat pajak yang ditandatangani oleh anda dan pihak bank dan seterusnya anda akan menerima "cash" di kaunter.


CARA MENEBUS.

Hanya bawa surat pajak berserta IC dan duit pembayaran. Setelah selesai bayaran, emas anda akan dikembalikan.



Itulah secara ringkasnya cara cara membuat pinjaman menggunakan Arrahnu di bank bank dan koperasi.

Jadi anda boleh merancang kewangan anda supaya anda dapat tebus balik emas yang dicagarkan tadi.


JUMLAH BAYARAN BALIK/ 6 bulan = RM 1484 / 6 = RM 248 sebulan. Jika anda amalkan disiplin membuat peruntukan setiap bulan , insyAllah tiada masalah untuk anda tebus balik emas anda pada masa yang telah ditetapkan.

Jika anda gagal menebusnya dalam tempoh masa 6 bulan, anda boleh memohon untuk dilanjutkan tempoh pinjaman dengan syarat anda mestilah membayar upah simpan terdahulu. Jika sudah sampai tahap di mana anda tidak dapat menebus emas anda, pihak Ar-rahnu akan melelong emas tersebut mengikut harga pasaran semasa. Jika terdapat lebihan dari hasil lelongan tersebut setelah ditolak jumlah pinjaman dan upah simpan, duit lebihan itu akan diserahkan kepada anda. Tapi saya berharap janganlah sampai perkara ini terjadi kerana ianya merugikan anda. Jadi rancanglah kewangan anda dengan teliti supaya anda tidak kehilangan emas anda.

Akhir kata, jika kemudahan digunakan dengan cara yang betul, anda akan dapat kelebihannya berbanding dari menyimpan wang kertas.

Apa kelebihannya?
Andaikan anda hanya mempunyai wang simpanan sebanyak RM 2000 yang telah anda kumpul selama setahun, bila ada kecemasan anda terpaksa gunakan wang tersebut. Jadi anda terpaksa berusaha kembali untuk mengumpul semula wang simpanan anda, kalau tak kena gaya dan kurang disiplin, mungkin sukar nak capai tahap tersebut dalam kadar segera.


Berbanding apabila anda mempunyai emas yang nilainya RM 2000 pada waktu tersebut, anda menggunakan kemudahan Ar-Rahnu untuk dapat wang segera dan dalam masa 6 bulan anda sudah pun dapat menebus kembali emas.Dan kebiasaanya selepas 6 bulan, harga emas anda mungkin sudah meningkat. Masalah anda selesai, dan anda dapat balik emas anda, yang harga meningkat saban tahun. Bukankah itu sesuatu yang menguntungkan?

p/s: Jangan salah gunakan kemudahan ini, meminjam hanya bila terdesak sahaja.

Untuk mendapatkan kalkulator perngiraan Ar-rahnu Agrobank klik di sini
http://mygoldtrading.blogspot.com/2012/01/kalkulator-ar-rahnu-agrobank.html






       







No comments:

Post a Comment